Panduan Solat Fardu Lengkap dengan Bacaan Rumi untuk Pemula

Posted on

Solat fardhu ialah ibadah wajib yang perlu ditunaikan oleh setiap umat Islam sebanyak 5 waktu sehari, iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Pergerakan solat merangkumi perbuatan dan bacaan yang dimulakan dengan takbir serta diakhiri dengan salam.

Ia merupakan rukun Islam kedua selepas syahadah, dan menjadi asas utama dalam kehidupan seorang Muslim. Solat bukan sekadar pergerakan fizikal, tetapi juga satu bentuk komunikasi langsung antara hamba dengan Allah SWT.

Selain itu, kerana solat wajib ditunaikan lima waktu setiap hari, maka orang yang mengerjakannya akan sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan, sama ada ketika senang mahupun susah.

Syarat Wajib & Syarat Sah Solat

Sebelum mempelajari cara menunaikan solat dengan betul, adalah lebih baik untuk anda memahami terlebih dahulu syarat wajib dan syarat sah solat. Ini penting supaya solat yang dilakukan bukan sahaja sempurna dari segi pergerakan, tetapi juga sah dan diterima di sisi Allah SWT. Dengan mengetahui perkara asas ini, anda dapat mengelakkan kesilapan yang boleh menyebabkan solat tidak sah tanpa disedari.

Syarat Wajib Solat

Syarat wajib solat ialah perkara yang menentukan sama ada seseorang itu wajib menunaikan solat atau tidak. Jika syarat ini tidak dipenuhi, maka solat tidak diwajibkan ke atasnya.

Antara syarat wajib solat adalah:

  • Beragama Islam
  • Baligh (cukup umur)
  • Berakal (tidak gila atau hilang akal)
  • Suci daripada haid dan nifas (bagi wanita)
  • Sampai seruan Islam kepadanya

Kanak-kanak yang belum baligh memang belum diwajibkan menunaikan solat, namun digalakkan untuk dilatih sejak awal.

Syarat Sah Solat

Syarat sah solat pula ialah perkara yang perlu dipenuhi supaya solat yang dilakukan itu diterima dan sah. Jika salah satu syarat ini tidak dipenuhi, maka solat tersebut tidak sah.

Antara syarat sah solat adalah:

  • Suci daripada hadas kecil dan besar (berwuduk atau mandi wajib jika perlu)
  • Suci badan, pakaian dan tempat solat daripada najis
  • Menutup aurat dengan sempurna
  • Masuk waktu solat
  • Menghadap kiblat
  • Mengetahui cara solat (rukun dan tertibnya)

Sebagai contoh, jika seseorang solat tanpa wuduk atau tidak menutup aurat dengan betul, maka solat tersebut tidak sah dan perlu diulang semula.

Jumlah Rakaat Solat Fardhu

Setiap solat fardhu mempunyai jumlah rakaat yang berbeza dan perlu ditunaikan dengan sempurna mengikut waktunya. Mengetahui jumlah rakaat ini sangat penting supaya solat yang dilakukan tidak tersalah atau tertinggal.

Berikut adalah jumlah rakaat bagi solat fardhu 5 waktu:

  • Subuh: 2 rakaat
  • Zohor: 4 rakaat
  • Asar: 4 rakaat
  • Maghrib: 3 rakaat
  • Isyak: 4 rakaat

Sebagai panduan mudah, anda boleh ingat susunan ini: 2 – 4 – 4 – 3 – 4. Dengan memahami jumlah rakaat setiap waktu, anda akan lebih yakin ketika menunaikan solat dan dapat mengelakkan kesilapan.

Rukun Shalat

Rukun solat ialah perkara asas yang wajib dilakukan dalam solat. Jika tertinggal salah satu rukun, sama ada sengaja atau tidak, maka solat tersebut tidak sah dan perlu diulang semula.

Rukun solat perlu dilakukan mengikut tertib (susunan) dan dengan sempurna supaya ibadah yang dilakukan diterima di sisi Allah SWT.

Berikut adalah rukun solat yang perlu diketahui:

  1. Niat
  2. Berdiri bagi yang mampu
  3. Takbiratul ihram
  4. Membaca Surah Al-Fatihah
  5. Rukuk dengan tumakninah
  6. Iktidal dengan tumakninah
  7. Sujud dengan tumakninah
  8. Duduk antara dua sujud dengan tumakninah
  9. Duduk tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir
  12. Memberi salam yang pertama
  13. Tertib (mengikut susunan)

Bacaan Rumi Niat Solat Fardhu

Berikut niat solat fardhu 5 waktu lengkap dengan rumi :

Niat Solat Subuh

Arab:

أُصَلِّي فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi:
Usolli fardhas-subhi rak‘ataini adaan lillahi ta‘ala

Maksud:
“Sahaja aku solat fardhu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Niat Solat Zohor

Arab:

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi:
Usolli fardhaz-zuhri arba‘a raka‘atin adaan lillahi ta‘ala

Maksud:
“Sahaja aku solat fardhu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Niat Solat Asar

Arab:

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi:
Usolli fardhal-‘asri arba‘a raka‘atin adaan lillahi ta‘ala

Maksud:
“Sahaja aku solat fardhu Asar empat rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Niat Solat Maghrib

Arab:

أُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi:
Usolli fardhal-maghribi tsalaatha raka‘atin adaan lillahi ta‘ala

Maksud:
“Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Niat Solat Isyak

Arab:

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Rumi:
Usolli fardhal-‘isyaa’i arba‘a raka‘atin adaan lillahi ta‘ala

Maksud:
“Sahaja aku solat fardhu Isyak empat rakaat tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Susunan Lengkap Solat Fardhu Beserta Bacaan Rumi

Selain rukun solat, terdapat juga beberapa bacaan dan pergerakan tambahan yang dilakukan dalam solat. Walaupun ada yang tidak termasuk dalam rukun, amalan ini tetap penting kerana melengkapkan dan menyempurnakan solat.

Dengan memahami susunan penuh ini, anda akan lebih yakin ketika solat dan dapat melakukannya dengan lebih teratur serta khusyuk.

Berikut adalah susunan lengkap cara solat dari awal hingga akhir beserta bacaan rumi :

1. Berdiri Menghadap kiblat

Berdiri tegak (bagi yang mampu) dalam solat fardu hukumnya wajib kerana ia merupakan salah satu rukun solat. Kedudukan ini dilakukan sejak sebelum takbiratul ihram. Cara melakukannya adalah seperti berikut:

  • Posisi badan hendaklah tegak lurus menghadap ke arah kiblat dan tidak membongkok, kecuali jika uzur atau sakit.
  • Kedua-dua tangan diletakkan rapat di sisi badan. Kedudukan kaki direnggangkan sekadar selebar bahu.
  • Semua hujung jari kaki hendaklah menghadap ke arah kiblat.
  • Arahkan pandangan mata ke tempat sujud.

3. Melafazkan niat

Melafazkan niat mengikut solat fardu yang hendak didirikan.

4. Takbiratul Ihram

Berikut ialah pergerakan dan bacaan ketika Takbiratul Ihram:

  • Tapak tangan diangkat sejajar dengan bahu.
  • Hujung ibu jari sejajar dengan bahagian bawah telinga.
  • Jari-jari direnggangkan.
  • Tapak tangan menghadap ke arah kiblat, bukan ke atas atau ke sisi.
  • Lengan direnggangkan dari ketiak (sunat bagi lelaki). Bagi perempuan, ada yang menyunatkan merapatkannya ke ketiak, namun dibolehkan juga direnggangkan.
  • Dilakukan serentak dengan melafazkan takbir “Allahu Akbar”.
  • Bersamaan dengan itu, dalam hati niatkan untuk mendirikan solat fardu mengikut solat yang hendak dikerjakan.

Selepas mengangkat tangan untuk takbiratul ihram, seterusnya adalah bersedekap. Cara melakukannya adalah seperti berikut:

a. Tapak tangan kanan diletakkan di atas pergelangan tangan kiri, tidak digenggam dengan kuat.
b. Kedudukan tangan boleh diletakkan di dada, boleh juga meletakkannya di antara dada dan pusat.

Setelah bersedekap, bacaan pertama yang dibaca ialah doa iftitah.

5. Doa Iftitah (Sunat)

Selepas takbiratul ihram, disunatkan untuk membaca doa iftitah sebagai pembuka solat sebelum membaca Surah Al-Fatihah. Doa ini hanya dibaca sekali, anda tidak perlu membacanya lagi pada rakaat seterusnya.

Arab:

اللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلًا

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمٰوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

إِنَّ صَلَاتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

لَا شَرِيْكَ لَهُ وَبِذٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

Rumi:
Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina.
Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina.
Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin

Maksud:
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang.
Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.

6. Membaca Surah Al-Fatihah

Surah Al-Fatihah wajib dibaca dalam setiap rakaat. Berikut adalah bacaannya:

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ ١

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَۙ ٢

الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِۙ ٣

مٰلِكِ يَوْمِ الدِّيْنِۗ ٤

اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُۗ ٥

اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَۙ ٦

صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ەۙ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّاۤلِّيْنَࣖ ٧

Rumi:
1. Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm
2. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn
3. Ar-raḥmānir-raḥīm
4. Māliki yaumid-dīn
5. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn
6. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm
7. Ṣirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim gairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud:
1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

7. Membaca Surah atau Ayat Al-Quran (Sunat)

Jika Surah Al-Fatihah telah selesai dibaca, seterusnya disunatkan membaca surah pendek atau beberapa ayat daripada Al-Qur’an. Antara surah pendek yang boleh dibaca dalam solat ialah Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas, atau surah-surah lain dalam Al-Qur’an. Selain itu, memadai juga jika hanya membaca satu ayat daripada Al-Qur’an.

Membaca surah pendek atau ayat Al-Qur’an hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua.

8. Rukuk

Pergerakan rukuk ialah membongkokkan badan. Berikut ialah langkah-langkahnya:

  1. Dalam keadaan masih bersedekap, angkat tangan untuk bertakbir (takbiratul ihram) sambil mengucapkan takbir.
  2. Turunkan badan ke posisi membongkok.
  3. Pastikan posisi rukuk stabil dan tidak tergesa-gesa.
  4. Kedua-dua tangan memegang lutut, bukan betis atau paha. Jari-jari direnggangkan, tangan lurus dan siku tidak dibengkokkan.
  5. Belakang badan dan kepala hendaklah sejajar (mendatar), tidak terlalu tunduk ke bawah dan tidak mendongak ke atas.
  6. Kaki tegak lurus dan lutut tidak dibengkokkan.
  7. Pandangan diarahkan ke tempat sujud.

Kemudian, bacalah doa rukuk seperti berikut sebanyak tiga (3) kali:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Rumi:
Subhana rabbiyal ‘azimi wabihamdih

Maksud:
“Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agung dan dengan segala puji bagi-Nya.”

9. Iktidal

Iktidal ialah pergerakan bangun daripada rukuk kembali ke posisi berdiri tegak. Ketika bangkit, disunatkan mengangkat tangan seperti ketika takbiratul ihram, sambil membaca:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allahu liman hamidah

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Ketika berdiri tegak sebelum sujud, bacalah doa berikut:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanaa lakal hamdu

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala puji

10. Sujud

BerSeterusnya, lakukan pergerakan sujud sambil bertakbir “Allahu Akbar”.

Ketika sujud, terdapat tujuh anggota badan yang mesti menyentuh lantai, iaitu:

  • wajah (dahi dan hidung),
  • kedua-dua tapak tangan,
  • kedua-dua lutut, dan
  • kedua-dua hujung jari kaki.

Beberapa perkara lain yang perlu diberi perhatian ketika sujud, antaranya:

  • Tapak tangan menyentuh lantai dalam keadaan terbuka, tidak digenggam, dan jari-jari dirapatkan.
  • Jari-jari tangan dan kaki semuanya menghadap ke arah kiblat. Hujung jari tangan sejajar dengan bahu.
  • Lengan direnggangkan dari ketiak (sunat bagi lelaki). Bagi perempuan, ada yang menyunatkan dirapatkan ke ketiak, namun boleh juga direnggangkan.
  • Pinggang direnggangkan daripada paha.
  • Posisi punggung lebih tinggi daripada kepala.

Setelah posisi sujud betul, barulah membaca doa berikut sebanyak tiga (3) kali:

سُبْحَانَ رَبِّىَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subhāna Rabbiyal A‘lā wa bihamdih

“Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan segala puji bagi-Nya.”

11. Duduk Antara Dua Sujud

Setelah itu bangun dari sujud sambil bertakbir “Allahu akbar” untuk mengambil posisi duduk diantara dua sujud atau disebut juga duduk iftirasy. Posisi duduk iftirasy adalah sebagai berikut:

  • Tapak kaki kiri dibuka dan diduduki.
  • Tapak kaki kanan ditegakkan, jari-jari menghadap ke arah kiblat.
  • Badan berada dalam keadaan tegak.
  • Siku tangan dibengkokkan, dan tangan berada sejajar dengan paha.
  • Tapak tangan dibuka, jari-jari menghadap ke arah kiblat.
  • Tapak tangan diletakkan di atas paha, dengan hujung jari sejajar dengan lutut.
  • Pandangan diarahkan ke tempat sujud.

Setelah berada dalam keadaan tumakninah, bacalah doa berikut:

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī

“Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, kurniakanlah rezeki kepadaku, berikanlah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.”

12. Sujud Kedua

Gerakan dan bacaan sama dengan sujud pertama.

13. Bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya

Bangkit sambil bertakbir “Allahu Akbar”. Ulangi pergerakan dan bacaan seperti pada rakaat pertama.

14. Tahiyat Awal (Jika Ada)

Jika solat yang dikerjakan melebihi dua rakaat, maka selepas sujud kedua pada rakaat kedua, disunatkan untuk melakukan tasyahud (tahiyat) awal. Pergerakannya adalah seperti berikut:

  1. Bangkit daripada sujud kedua pada rakaat kedua sambil bertakbir “Allahu Akbar”, kemudian duduk seperti duduk antara dua sujud (duduk iftirasy).
  2. Perbezaannya ialah pada tangan kanan, di mana jari kelingking, manis dan tengah digenggam, manakala jari telunjuk dan ibu jari membentuk seperti angka 5 dalam tulisan Arab.
  3. Membaca bacaan tasyahud awal.
  4. Ketika menyebut “illallah” dalam lafaz Ashhadu alla ilaha illallah, jari telunjuk diangkat (menunjuk).

Berikut bacaan tasyahud awal:

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللّٰهِ. اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللّٰهِوَبَرَكَاتُهُ. اَلسَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِيْنَ. أَشْهدُ اَنْ لاَإِلَهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَاَشْهَدُ أَنَّمُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللّٰهِ

اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

At-taḥiyyātul mubārakātus-solawātut-toyyibātu lillāh,
as-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu waraḥmatullāhi wabarakātuh,
as-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhis-sāliḥīn.
Ashhadu allā ilāha illallāh,
wa ashhadu anna Muḥammadar rasūlullāh.
Allāhumma ṣolli ‘alā Muḥammad,
wa ‘alā āli Muḥammad.

“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.”

Seterusnya, bangkit sambil bertakbir “Allahu Akbar”, kemudian meneruskan rakaat ketiga dan seterusnya.

15. Tahiyat Akhir

Setelah sujud pada rakaat kedua bagi rakaat terakhir, seterusnya melakukan tahiyat akhir. Posisi duduk tahiyat akhir sedikit berbeza dengan tahiyat awal. Berikut ialah pergerakan dan posisi tahiyat akhir:

  1. Bangkit daripada sujud kedua pada rakaat terakhir solat sambil bertakbir.
  2. Tapak kaki kiri dimasukkan ke bawah kaki kanan, sehingga punggung duduk menyentuh lantai.
  3. Tapak kaki kanan ditegakkan, dengan jari-jari menghadap ke arah kiblat.
  4. Posisi tangan dan pergerakan adalah sama seperti tasyahud awal. Jari telunjuk diangkat (menunjuk) ketika menyebut “illallah” dalam lafaz Ashhadu alla ilaha illallah.

Bacaan tasyahud akhir adalah sama seperti tasyahud awal, tetapi dengan sedikit tambahan. Berikut ialah bacaan lengkapnya.

اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللّٰهِ. اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللّٰهِوَبَرَكَاتُهُ. اَلسَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِيْنَ. أَشْهدُ اَنْ لاَإِلَهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَاَشْهَدُ أَنَّمُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللّٰهِ

اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

كَمَا بَرَكْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ

فِى الْعَالَمِيْنَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ

At-taḥiyyātul mubārakātus-solawātut-toyyibātu lillāh,
as-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu waraḥmatullāhi wabarakātuh,
as-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhis-sāliḥīn.
Ashhadu allā ilāha illallāh,
wa ashhadu anna Muḥammadar rasūlullāh.

Allāhumma ṣolli ‘alā Muḥammad,
wa ‘alā āli Muḥammad.


kamā ṣollaita ‘alā Ibrāhīm, wa ‘alā āli Ibrāhīm.
Wa bārik ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad,
kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm, wa ‘alā āli Ibrāhīm,
fil-‘ālamīn innaka ḥamīdun majīd.

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Muhammad dan keluarga Muhammad.
Sebagaimana Engkau merahmati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Muhammad dan keluarga Penghulu kami Muhammad. Sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

16. Salam

Setelah selesai membaca tasyahud akhir, kemudian ucapkan salam sambil berniat di dalam hati untuk mengakhiri solat. Berikut adalah bacaan salam:

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

Assalāmu ‘alaikum warahmatullāh

Sejahtera ke atas kamu serta rahmat Allah.

Tatacara salam untuk mengakhiri solat:

  1. Ucapkan salam sambil memalingkan muka ke kanan dan buka genggaman (tasyahud akhir) tangan kanan. Jika anda menjadi imam dalam solat berjemaah, palingkan sehingga kelihatan hidung oleh makmum.
  2. Kembalikan muka ke hadapan, kemudian ucapkan salam sekali lagi sambil memalingkan muka ke kiri.

Penutup

Dengan memahami panduan langkah demi langkah ini, anda dapat menunaikan solat dengan betul dari segi syarat, rukun serta susunan pergerakan dan bacaan. Oleh itu, anda boleh menunaikan solat dengan lebih yakin, teratur dan khusyuk.

Walaupun pada awalnya mungkin terasa agak sukar, amalkan secara berperingkat dan konsisten. Yang penting, sentiasa berusaha memperbaiki bacaan dan pergerakan dari semasa ke semasa. Semoga solat yang kita dirikan diterima oleh Allah SWT serta menjadi amalan yang membawa keberkatan dalam kehidupan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *