
Pernah tak kita terfikir, mengapa solat tahajud selalu disebut-sebut sebagai antara amalan yang paling istimewa? Bukan sekadar kerana ia sunat, tapi kerana masanya —ketika malam semakin sunyi, ketika orang lain lena dibuai mimpi, dan ketika hati lebih mudah untuk merendah diri kepada Pencipta. Dalam suasana yang hening itulah, seorang hamba dapat mencurahkan segala isi hati tanpa sekatan, tanpa gangguan, tanpa rasa malu.
Walaupun kelebihan solat tahajud sering diperkatakan, masih ramai yang berasa ragu untuk mengamalkannya.. Ada yang tertanya: “Perlu ke saya tidur dulu?” “Berapa rakaat yang sebaiknya?” “Niatnya macam mana?” “Doa lepas solat tu panjang ke?”
Persoalan-persoalan ni kecil, tapi sering menjadi penghalang untuk kita melangkah. Solat tahajud tidaklah sesukar yang disangka. Ia lebih mudah dari segi bilangan rakaat berbanding solat fardhu, dan lebih fleksibel dari segi waktu. Cuma bezanya—ia perlukan sedikit usaha untuk bangun dari tidur, walaupun sekejap, demi bertemu dengan Allah dalam keadaan paling ikhlas.
Apa Itu Solat Tahajud?
Secara mudahnya, solat tahajud ialah solat sunat yang dilakukan pada waktu malam, selepas seseorang itu bangun daripada tidur. Perkataan “tahajud” sendiri berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud “meninggalkan tidur” untuk beribadah kepada Allah SWT. Jadi, kalau kita lihat dari segi bahasa, sudah jelas bahawa unsur tidur itu adalah salah satu komponen penting dalam solat ini.
Mungkin ada yang tertanya: “Kalau saya solat malam tapi tidak tidur langsung, masih kira tahajud ke?”
Menurut kebanyakan ulama, solat malam yang dilakukan tanpa tidur terlebih dahulu bukanlah dinamakan sebagai solat tahajud, tetapi ia termasuk dalam kategori qiamullail — iaitu solat malam secara umum. Bezanya halus, tapi penting untuk kita fahami supaya tidak keliru. Tahajud itu spesifik — ia memerlukan kita untuk bangun daripada tidur, walaupun sekadar tidur seketika. Itulah yang membezakan antara tahajud dengan solat sunat malam yang lain.
Hukum Solat Tahajud
Solat tahajud mempunyai hukum sunat muakkad — iaitu solat sunat yang sangat dituntut dan digalakkan dalam Islam. Maksudnya, ia bukanlah satu kewajipan, tetapi ia adalah satu peluang berharga yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang ingin mendekatkan diri. Lebih istimewa lagi, Rasulullah SAW sentiasa menghidupkan malam dengan solat tahajud dan tidak pernah meninggalkannya.
Perlu difahami bahawa bagi Rasulullah SAW, solat tahajud pernah diwajibkan sebagai ibadah khusus untuk Baginda. Ini menunjukkan betapa tinggi darjat ibadah ini di sisi Allah. Namun, sebagai rahmat kepada umatnya, Allah tidak mewajibkannya ke atas kita. Sebaliknya, ia kekal sebagai sunat yang sangat digalakkan — supaya kita boleh mengamalkannya mengikut kemampuan masing-masing, tanpa rasa tertekan atau terbeban.
Jadi, sesiapa yang mengerjakannya, dia akan memperoleh ganjaran dan pahala yang besar. Dan sesiapa yang tidak mengerjakannya, dia tidak berdosa — tetapi dia mungkin terlepas peluang keemasan untuk merasai manisnya bermunajat di tengah malam.
Dalil-Dalil Mengenai Solat Tahajud
Anjuran untuk mengerjakan solat tahajud bukan sekadar nasihat daripada para ulama, tetapi ia berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis-hadis sahih. Marilah kita lihat beberapa dalil yang menjadi asas kepada amalan mulia ini.
Daripada al-Quran:
وَمِنَ الَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهٖ نَافِلَةً لَّكَۖ عَسٰٓى اَنْ يَّبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُوْدًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (Surah Al-Israa’: 79)
.كَانُوْا قَلِيْلًا مِّنَ الَّيْلِ مَا يَهْجَعُوْنَ
.وَبِالْاَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُوْنَ
Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (Surah Adz-Dzaariyaat:17-18)
Daripada Hadis:
Rasulullah SAW juga bersabda tentang kelebihan solat malam secara umum. Baginda menyatakan bahawa sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam. Ini menunjukkan bahawa ibadah malam, termasuk tahajud, menduduki tempat yang tinggi dalam tangga amalan sunat.
“Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat pada waktu malam.” (Hadis Riwayat Muslim)
Waktu Solat Tahajud
Solat tahajud boleh dilakukan pada bila-bila masa selepas solat Isyak sehingga masuk waktu Subuh, dengan syarat ia dikerjakan selepas bangun daripada tidur. Namun begitu, waktu yang paling afdal untuk menunaikan solat tahajud ialah pada sepertiga malam terakhir.
Sepertiga malam terakhir ialah bahagian akhir malam, iaitu tempoh antara waktu Isyak dan Subuh yang dibahagikan kepada tiga. Dalam amalan, waktu ini biasanya jatuh sekitar satu hingga dua jam sebelum azan Subuh, bergantung pada panjang atau pendeknya malam pada hari tersebut.
Ramai ulama menyatakan bahawa waktu inilah yang paling utama untuk beribadah kerana suasananya lebih tenang dan menjadi saat yang terbaik untuk bermunajat, berdoa serta memohon keampunan daripada Allah SWT.
Bilangan Rakaat Solat Tahajud
Solat tahajud yang paling minimum ialah dua rakaat. Itu sudah memadai, terutamanya bagi mereka yang baru ingin membiasakan diri. Tiada had maksimum yang ditetapkan, jadi anda bebas untuk menambah bilangan rakaat mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.
Namun, ada satu amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan para sahabat, iaitu mengerjakan solat malam sebanyak 11 atau 13 rakaat, termasuk solat Witir sebagai penutup. Cara melakukannya adalah secara dua rakaat, dua rakaat, kemudian diakhiri dengan solat Witir. Ini adalah kaedah yang paling biasa dan menjadi amalan ramai ulama.
Niat Solat Tahajud
Sebelum kita melangkah ke dalam solat, ada satu perkara yang sangat penting — niat. Niat merupakan salah satu rukun solat yang perlu ada sebelum memulakan solat. Memadai sekiranya niat dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram, manakala melafazkan niat hanyalah sebagai bantuan dan bukan suatu kewajipan.
Berikut adalah lafaz niat solat tahajud yang sering digunakan sebagai panduan:
أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى
Rumi:
Usolli sunnatat tahajjudi rak’ataini lillahi ta’ala.
Maksud:
“Sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Taala.”
Cara Solat Tahajud Langkah Demi Langkah
Cara mengerjakan solat tahajud pada asasnya sama seperti solat fardu atau sunat dua rakaat yang lain. Bezanya hanyalah pada niat dan waktu pelaksanaannya — iaitu selepas bangun daripada tidur pada waktu malam. Mari kita lihat langkah-langkahnya secara ringkas:
Rakaat Pertama
- Berdiri menghadap kiblat dan berniat solat sunat tahajud di dalam hati.
- Mengangkat takbiratul ihram sambil mengucapkan “Allahu Akbar”.
- Membaca doa iftitah (sunat).
- Membaca Surah Al-Fatihah.
- Membaca mana-mana surah atau beberapa ayat daripada al-Quran.
- Rukuk dengan tumakninah.
- Iktidal dengan tumakninah.
- Sujud pertama dengan tumakninah.
- Duduk antara dua sujud.
- Sujud kedua dengan tumakninah.
- Bangun untuk rakaat kedua.
Rakaat Kedua
- Membaca Surah Al-Fatihah.
- Membaca mana-mana surah atau beberapa ayat daripada al-Quran.
- Rukuk.
- Iktidal.
- Sujud pertama.
- Duduk antara dua sujud.
- Sujud kedua.
- Duduk tahiyat akhir.
- Memberi salam.
Solat tahajud yang paling minimum ialah dua rakaat. Sekiranya ingin menambah rakaat, ulangi cara yang sama secara dua rakaat demi dua rakaat sehingga bilangan rakaat yang dikehendaki. Jika anda belum menunaikan solat Witir, digalakkan untuk menutup ibadah malam dengan solat Witir — sama ada satu, tiga, atau lima rakaat.
Doa Selepas Solat Tahajud
Selepas selesai mengerjakan solat tahajud, ada satu perkara yang tidak boleh kita lepaskan — iaitu memperbanyakkan istighfar, zikir dan berdoa. Anda bisa membaca zikir selepas solat fardu, kemudian dilanjutkan berdoa memohon sesuai hajat anda. Meskipun tidak ada doa khusus yang diwajipkan, namun, terdapat doa yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dan sering diamalkan oleh umat Islam selepas menunaikan qiamullail atau solat malam. Berikut ialah doa selepas solat tahajud:

Doa Selepas Tahajud Rumi:
Allāhumma lakal-ḥamdu anta qayyimus-samāwāti wal-arḍi wa man fīhinna. Wa lakal-ḥamdu anta mulkus-samāwāti wal-arḍi wa man fīhinna. Wa lakal-ḥamdu anta nūrus-samāwāti wal-arḍi wa man fīhinna. Wa lakal-ḥamdu antal-ḥaqqu, wa wa‘dukal-ḥaqqu, wa liqā’uka ḥaqqun, wa qawluka ḥaqqun, wal-jannatu ḥaqqun, wan-nāru ḥaqqun, wan-nabiyyūna ḥaqqun, wa Muḥammad sallallāhu ‘alaihi wasallam ḥaqqun, was-sā‘atu ḥaqqun.
Allāhumma laka aslamtu, wa bika āmantu, wa ‘alaika tawakkaltu, wa ilaika anabtu, wa bika khāṣamtu, wa ilaika ḥākamtu, faghfir lī mā qaddamtu wa mā akhkhartu, wa mā asrartu wa mā a‘lantu. Antal-muqaddimu wa antal-mu’akhkhiru, lā ilāha illā anta aw lā ilāha ghayruka. Lā ḥaula wa lā quwwata illā billāh.
Maksud:
“Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Pemilik langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah cahaya bagi langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Bagi-Mu segala puji. Engkaulah Yang Maha Benar. Janji-Mu adalah benar, pertemuan dengan-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, syurga adalah benar, neraka adalah benar, para nabi adalah benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat juga adalah benar.
Ya Allah, kepada-Mu aku berserah diri, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku bertawakal, kepada-Mu aku kembali (bertaubat), dengan pertolongan-Mu aku berhujah, dan kepada-Mu aku memohon keputusan. Maka ampunilah segala dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang aku sembunyikan dan yang aku zahirkan. Engkaulah Yang Mendahulukan dan Engkaulah Yang Mengakhirkan. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, dan tiada Tuhan selain Engkau. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”



